Followers

Sunday, December 5, 2010

Sayap BN sambut baik amanat pengerusi, ikrar kikis 4 gejala penyakit

KUALA LUMPUR: Amanat dasar yang disampaikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ketika konvesyen BN hari ini wajar menjadi peringatan terutama kepada pemimpin muda dan generasi muda yang berjuang dalam BN.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata peringatan mengenai empat sifat atau kelakuan yang buruk iaitu khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (intertia) dan keangkuhan (arrogance) adalah gejala negatif yang perlu segera diatasi.
"Oleh itu, berteraskan dan berpaksikan kepada realiti dan berpijak di bumi yang nyata, saya harap Pemuda BN akan dapat menggalas tanggungjawab ini dan menyampaikan pesanan itu kepada generasi muda," katanya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen BN di Wisma MCA di sini, hari ini.
Katanya, generasi muda perlu diberikan penjelasan mantap mengenai peranan dan tanggungjawab BN yang kini satu-satunya pilihan terbaik pada kalangan orang muda untuk mengemudikan negara ini ke arah masa depan yang lebih baik.

"Berbanding dengan pembangkang yang disifatkan sebagai saudagar mimpi yang menjanjikan segala bentuk kemudahan kepada rakyat tetapi sebenarnya tidak mampu dan tidak boleh tunaikan janji itu," kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata amanat yang dilaungkan Perdana Menteri seharusnya dijadikan azimat bagi jentera BN untuk membuat persdiaan mantap bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

"Dalam ucapan tadi Pengerusi menekankan tentang empat penyakit yang sering melanda parti yang telah lama memerintah.
"Ia seharusnya menjadi ingatan kepada BN dengan merapatkan barisan pada ketika ini dan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang agar apa yang berlaku pada 2008 tidak berulang," katanya.

Rosnah berkata, jentera pergerakan Puteri yang sedar dengan keperluan untuk berubah, kini giat mendekati pengundi muda dalam usaha memenangi hati golongan itu melalui pelbagai program khusus yang dijalankan di semua bahagian.

"Puteri sudah bersedia dengan bilik gerakan dan kita juga telah mengatur langkah dan mengenal pasti pengundi-pengundi muda yang akan jadi kumpulan sasaran kita.

"InsyaAllah, ini akan berterusan dan kita baru sahaja tamat dengan fasa pertama dan telah memulakan fasa kedua awal bulan ini dengan giat mendekati akar umbi," kata Rosnah.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun disampaikan dalam pelbagai bahasa bagi menggambarkan kepelbagaian kaum di negara ini, kata-kata Perdana Menteri itu membawa satu matlamat dan ia berjaya menyuntik semangat baru kepada perwakilan muda khususnya.

Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, rakyat seharusnya bijak menilai pakatan pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju walaupun bersepakat, dan kembali memilih BN sebagai parti yang menjaga kebajikan semua kaum.

"Saya terharu dengan ucapan Najib tadi...kita harus ambik iktibar dengan pilihan raya lalu dan perlu lebih bersemangat serta tidak putus asa memperbaiki kelemahan untuk memberi kemakmuran terutama menyelesaikan masalah rakyat," katanya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget