Followers

Thursday, December 2, 2010

Syarikat automobil mesti naik taraf, cipta inovasi: Mahathir

KUALA LUMPUR: Syarikat automobil mestilah menaikkan taraf masing-masing dan mencipta inovasi, jika tidak mahu segera menemui kesudahan yang mengaibkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menyebut sebagai contoh jenama-jenama lama yang terkenal tetapi kini telah lenyap, terutamanya kereta-kereta British.
"Kita tidak lagi nampak kereta Austin dan Morris buatan Britain, Borgward buatan Jerman serta Studebaker dan Hudson buatan Amerika, dan banyak lagi yang lain," katanya dalam ucaptama khasnya pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di sini tengah hari ini.
Dengan begitu banyak inovasi dirangkumkan ke dalam sebuah kenderaan, kata Dr Mahathir, model dan jenama yang menawarkan kilas yang paling berkuasa, kelajuan yang lebih tinggi dan pengendalian jalan raya yang baik, adalah model dan jenama yang laris jualannya.

Pada masa sama, ada juga kereta istimewa dari jenama terkenal dan dijual dalam jumlah terhad setiap tahun tetapi masih boleh terus bertahan disebabkan oleh ciri-cirinya yang istimewa, katanya.

Dr Mahathir berkata sukar bagi sesebuah syarikat untuk bertahan jika ia tidak laku dalam pasaran dunia.

"Meskipun jenama dan syarikat mungkin sudah lenyap, namun penggunaan kereta sebagai pengangkutan peribadi sentiasa ada disebabkan oleh permintaan daripada orang ramai.
"Tidak kira sebagus mana sistem pengangkutan awam sekalipun, kereta tetap akan digunakan pada masa akan datang.

"Malah orang sanggup menyewa rumah dan berpuas hati dengan keadaan itu, tetapi tiada siapapun mahu menyewa kereta kecuali bagi kegunaan sementara ketika berada di tempat lain," katanya.

Dr Mahathir meramalkan penyusutan bilangan peserta industri automotif tetapi, katanya, industri itu sendiri tidak akan lenyap.

Katanya hanya yang agresif dan yang berkemampuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan besar-besaran akan kekal.

Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata negara mempunyai terlalu banyak kereta dan harganya pula terlalu rendah.

Beliau menegaskan bahawa pada 1985 semasa Proton dilancarkan, jualan kenderaan tahunan hanyalah kira-kira 50,000 tetapi kini jumlahnya ialah 570,000 setahun.

"Oleh itu, kita perlu menaikkan harga melalui cukai yang tinggi bagi mengurangkan jumlah kereta," kata Dr Mahathir, yang juga penasihat kepada Proton Holdings Bhd, pembuat kereta nasional.

Beliau berkata bilangan kereta boleh dikurangkan dengan sistem transit aliran massa elektrik dan kereta api berkuasa elektrik. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget