Followers

Wednesday, November 24, 2010

Lebih banyak kes HIV dijangkiti melalui hubungan seks

KUALA LUMPUR: Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie.
Katanya, ini kerana kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara kini dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding melalui suntikan sebelum ini.
"Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan," katanya dalam ucapan pada pelancaran perbincangan meja bulat mengenai kedudukan Wabak HIV dan Aids di Malaysia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abdul Rahman.

Heng berkata, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV.

Katanya, menurut laporan Suruhanjaya Mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi penggunaan dadah suntikan (IDU) dan mengadakan hubungan seks rambang, akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang.

Sehubungan itu, katanya, sukatan mata pelajaran mengenai Kesihatan Reproduktif dan Pendidikan Sosial akan diperkenalkan di semua sekolah menengah pada tahun hadapan.
"Sukatan mata pelajaran itu akan membolehkan remaja kita lebih melindungi diri mereka daripada gejala sosial seperti mengadakan hubungan seks haram dan memastikan mereka berpengetahuan dalam peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki, wanita, remaja lelaki dan remaja perempuan," katanya.

Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia dihadiri 100 orang pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyediakan satu landasan bagi membincangkan pembangunan dan kemajuan wabak HIV di Malaysia. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget