Followers

Wednesday, November 24, 2010

Sukan Asia: Malaysia raih tempat kelima hoki wanita

GUANGZHOU: Malaysia sekadar berpuas hati di tempat kelima selepas mengalahkan Thailand 3-0 dalam perlawanan penentuan hoki wanita Sukan Asia ke-16 yang berlangsung di Padang Hoki Aoti di sini, hari ini.
Malaysia menguasai sejak awal permainan dan memperoleh gol pertama pada minit ke-13 menerusi Siti Noor Amarina Ruhaini.
Sejurus sebelum tamat separuh masa, ketua pasukan Nadia Abdul Rahman menyumbangkan gol kedua menerusi pukulan penalti untuk membolehkan pasukan negara mendahului dengan dua gol.
Pada separuh masa kedua, Malaysia meneruskan penguasaan dan Fazilla Sylvester Silin yang mendapat hantaran dari arah kiri berjaya menjaringkan gol pada minit ke-57.

Pasukan Thai cuba melakukan serangan balas namun gagal membolosi gawang Malaysia.

Nadia berkata, selepas persembahan yang mengecewakan pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi bulan lalu dengan berkesudahan di tempat ke-10, pasukan itu menggandakan usaha untuk memberi saingan pada Sukan Asia.

"Sasaran kami ialah untuk mara ke separuh akhir dan menamatkan saingan di tempat keempat. Sungguhpun kami hanya berada di tempat kelima, kami semua gembira dengan keputusan itu. Namun, kami perlu beraksi dalam lebih banyak perlawanan bagi menimba lebih banyak pengalaman dalam pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya.
Jurulatih Malaysia, Yahya Atan, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya itu dan berharap agar Majlis Sukan Negara dapat menghantar pasukan berkenaan untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget