Followers

Saturday, November 20, 2010

Bajet 2011 Negeri Sabah disifat bajet rakyat

KOTA KINABALU 19 Nov. - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, Bajet 2011 yang dibentangkan hari ini disifatkan sebagai terbesar pernah diperuntukkan kerajaan negeri adalah bajet rakyat dan bukannya bajet pilihan raya.

Beliau berkata, peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah.

''Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Apa yang penting adalah untuk terus berkhidmat dan memenuhi permintaan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membentang Bajet 2011 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Pada pembentangannya, Musa mengumumkan kerajaan akan membelanjakan lebih RM2.94 bilion tahun depan bagi melaksanakan lebih banyak program meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negeri.

''Perbelanjaan Perbekalan untuk Bajet 2011 dicadangkan sejumlah RM3.1 bilion, emolumen RM598 juta, perbelanjaan berulang RM1.1 bilion dan sejumlah RM1.4 bilion untuk perbelanjaan khas," katanya.

Katanya, jumlah hasil negeri tahun depan dijangka meningkat kepada RM2.7 bilion berbanding RM2.5 bilion tahun ini.

Katanya, cukai jualan bagi minyak mentah kelapa sawit dan royalti petroleum kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada perolehan negeri iaitu sebanyak 60 peratus.

Dalam hal ini, beliau memberitahu, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai baru pada tahun depan bagi mengelak rakyat mendapat bebannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan akan menggiatkan usaha untuk mendapatkan kembali tunggakan hutang berjumlah RM487.14 juta dalam bentuk sewa tanah dan faedah pinjaman seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Bagi memenuhi keperluan rakyat, Musa berkata, kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan khas kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) kepada RM1 juta berbanding RM600,000 sebelum ini.

Beliau menambah, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan mendapat peruntukan tambahan RM100,000 untuk bantuan kepada orang susah di kawasan masing-masing.

Musa berkata, sebanyak RM827 juta dijangka akan dibelanjakan untuk tujuan pembangunan dengan RM470 juta melibatkan projek sambungan dan RM357 juta projek baru.

Katanya, sejajar dengan tema bajet Kemakmuran Melalui Pendekatan Holistik, agihan peruntukan pembangunan akan diberikan berasaskan keutamaan.

''Sebahagian besar peruntukan pembangunan berjumlah RM1 bilion akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas negeri.

''Sektor pertanian menerima peruntukan RM413,810, belia dan sukan (RM210,810), pembangunan modal insan (RM201,840), pembasmian kemiskinan (RM162,120) dan pelancongan (RM116,270)," katanya.

Musa berkata, menyedari sumbangan dan cabaran yang dihadapi oleh anggota perkhidmatan negeri, kerajaan bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah pada bulan Disember tahun ini.

Pada pembentangan itu, Musa turut mengumumkan pemberian hadiah wang tunai sebanyak RM40,000 kepada atlet angkat berat Sabah, Aricco Jumitih, yang memenangi pemenang pingat emas pada Sukan Komanwel di India bulan lalu.

0 comments:

There was an error in this gadget