Followers

Saturday, November 20, 2010

Peruntukan DUN ditambah

KOTA KINABALU 19 Nov. - Kerajaan negeri hari ini memutuskan meningkatkan peruntukan khas bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada RM1 juta berbanding RM600,000 sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, selain itu kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan bantuan kebajikan di setiap DUN kepada RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini.

"Diingatkan peruntukan khas yang diberikan ini adalah untuk dimanfaatkan secara adil dan bijaksana demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak akan disia-siakan bahkan akan ditatang sebagaimana menatang minyak yang penuh, cepat atau lambat, kerajaan berpegang pada prinsip, kata mesti dikota, janji mesti ditepati," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 Negeri Sabah di sini hari ini.

Menurut Musa, tambahan sebanyak RM400,000 itu dibuat bagi memastikan lebih banyak keperluan rakyat khususnya infrastruktur dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

Selain itu, katanya, kenaikan bantuan kebajikan pula dapat memastikan lebih ramai golongan miskin mendapat bantuan kebajikan.

Dalam pada itu, Musa berkata, dalam menghargai sumbangan kakitangan awam di negeri ini, bantuan khas kewangan sebanyak RM500 akan diberi kepada penjawat awam dari gred 54 ke bawah pada Disember ini.

"Cabaran besar yang dihadapi oleh penjawat awam dalam memastikan keberkesanan sistem penyampaian sememangnya disedari dan difahami kerajaan.

"Jadi kepada mereka yang telah berkeluarga diharapkan bantuan khas ini akan dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak sekolah menjelang Januari akan datang," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Galas dan Batu Sapi baru-baru ini memberi suntikan semangat kepada BN untuk terus berusaha membela nasib rakyat.

Justeru beliau berharap semua parti komponen BN berusaha keras memastikan momentum kemenangan besar BN khususnya di Batu Sapi dapat direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang pernah saya katakan bahawa yang pipih itu tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek.

"Tanpa komitmen dan kesungguhan, tanpa kerjasama dan semangat kerja berpasukan, kejayaan besar seperti di Batu Sapi tidak mungkin tercapai," katanya.

0 comments:

There was an error in this gadget