Followers

Thursday, November 18, 2010

Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan

KINABATANGAN: Seorang maut dan dua lagi cedera selepas terlibat dengan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintenden (DSP) Jaini Abdul Kadir berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Myvi dikenalpasti sebagai Nursia Yusof, 24, berasal dari Tawau meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta jenis Proton Waja yang cedera parah di bahagian kaki dikenali sebagai Mohd Yasin Patongi, 43, dan seorang lagi pemandu kereta jenis Kembara (identiti belum dikenalpasti) hanya mengalami kecederaan ringan.

”Dalam kejadian 10.50 pagi itu, mangsa yang maut dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kinabatangan menuju ke Sandakan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Kembara dari arah bertentangan.

”Kereta mangsa kemudian berpusing semula ke arah kiri jalan sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Kinabatangan-Sandakan melanggar kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Jaini berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat dan dua lagi yang mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital terbabit untuk menerima rawatan.

Katanya, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalanraya agar lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingin berlaku.

0 comments:

There was an error in this gadget