Followers

Thursday, November 18, 2010

AS mahu kerjasama banteras pemerdagangan manusia

PUTRAJAYA 18 Nov.- Amerika Syarikat mengharapkan kerjasama lebih rapat dengan Malaysia bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, harapan itu disuarakan oleh Duta Amerika yang bertanggungjawab bagi Membanteras Pemerdagangan Manusia, Luis CdeBaca, yang mengadakan pertemuan dengannya hari ini.

"Malah mereka meminta saya melawat Amerika tahun depan agar mereka dapat tunjukkan bagaimana cara mereka menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan ke negara itu selagi kedua-dua pihak belum memutuskan perkara-perkara asas bagi memeterai apa-apa kerjasama konkrit kerana menurutnya, "apa yang diputuskan nanti perlu ada keadaan menang-menang di mana Malaysia turut mendapat manfaat daripada hubungan itu".

Sementara itu CdeBaca berkata jenayah pemerdagangan manusia boleh disamakan dengan "perhambaan zaman moden".

Menurutnya, kerajaan Amerika memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi membanteras aktiviti keji itu, yang menyaksikan manusia diberikan layanan yang amat buruk, sama ada sebagai pelacur atau buruh paksa.

"Kami berbincang mengenai pelbagai cara bagi Malaysia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam meyiasat siapa yang menjadi dalang kegiatan ini yang menjadikan mangsa sebagai hamba, memindahkan mangsa dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi; di samping mengkaji bagaimana cara membanteras masalah ini yang turut wujud di Malaysia dan Amerika," katanya.

CdeBaca berkata, Amerika komited untuk bekerjasama dengan semua negara di seluruh dunia, sekaligus menjanjikan kebebasan diberikan kepada semua sebagaimana yang dijamin bukan sahaja oleh Amerika, tapi juga oleh Artikel 4 Deklarasi Sejagat mengenai hak asasi manusia. - Bernama

0 comments:

There was an error in this gadget