Followers

Wednesday, November 17, 2010

6 sekeluarga terselamat rumah bergegar


Zamie Saat (kanan) menunjukkan tebing parit sebelah rumahnya yang runtuh di Kampung Tanah Merah, Krubong, Melaka, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
MELAKA 17 Nov. - Enam sekeluarga yang sedang berehat di rumah sempena Hari Raya Aidiladha bergegas menyelamatkan diri apabila tebing parit berhampiran kediaman mereka di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini, runtuh.

Kejadian yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu ini ketika hujan lebat, menyebabkan rumah mereka bergegar.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemilik rumah itu, Zamie Saat, 37, berkata, sewaktu kejadian dia bersama isteri dan anak-anak sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Sebaik berasa rumah bergegar, saya dan isteri membawa anak-anak keluar dari rumah menyelamatkan diri. Ingatkan rumah kami runtuh tetapi syukurlah tebing parit yang runtuh itu sekadar merosakkan sebahagian dinding rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zamie berkata, runtuhan tebing parit itu mengenai dinding sebelah kanan rumahnya menyebabkan simen longkang turut rosak dan dinding retak.

"Saya bersyukur kerana rumah tidak runtuh dan seluruh ahli keluarga selamat," katanya lagi.

Dia percaya kejadian itu berpunca daripada masalah hakisan tebing parit itu yang terletak bersebelahan rumahnya.

Katanya, hakisan yang berlaku di tebing itu semakin serius setelah kolam takungan banjir di belakang rumahnya siap dibina tahun lalu.

"Air dari longkang dan taman-taman perumahan berhampiran disalurkan ke dalam kolam takungan itu melalui parit ini," katanya.

Keadaan itu katanya, menyebabkan tebing parit mudah terhakis dan menyebabkannya runtuh apabila hujan lebat.

0 comments:

There was an error in this gadget