Followers

Wednesday, November 17, 2010

Sabah & Sarawak: Integriti, disiplin azam Hamza

Pesuruhjaya Polis Sabah mahu anggota miliki kesungguhan laksana tugas
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru, Datuk Hamza Taib berazam meningkatkan keberkesanan tugasan pegawai dan anggotanya dengan menekankan integriti dan disiplin bagi memelihara keamanan dan keharmonian di negeri ini.

Sejajar tugas PDRM, menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin keselamatan setiap anggota masyarakat, beliau mahu pegawai dan anggotanya bukan setakat melaksanakan tugasan harian, malah memelihara integriti yang berfungsi sebagai tunjang membentuk pegawai dan anggota cemerlang.
"Saya tidak ada visi atau misi tertentu kerana kita tertakluk pada dasar ditetapkan Bukit Aman. Bagaimanapun, saya akan memastikan setiap pegawai dan anggota PDRM memiliki kesungguhan pada tugas dan mengamalkan integriti kerana tanggapan masyarakat terhadap polis sekarang sudah jauh berubah.
"Ketika saya menyertai PDRM 35 tahun lalu, tanggapan masyarakat terhadap tugas polis berbeza dengan sekarang. Oleh itu, kita harus menjalankan tugas sejajar perubahan zaman," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani dokumen penerimaan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Datuk Noor Rashid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, kelmarin.

Majlis itu disaksikan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi Menangani Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohd Fuzi Harun. Sebelum ini, Hamza adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Noor Rashid yang berkhidmat tiga tahun dan tujuh bulan di Sabah akan memulakan tugasnya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, mulai hari ini.

Hamza, 54, yang berasal dari Jasin, Melaka menyertai PDRM sebagai Inspektor Percubaan pada 16 November 1975.
Sehubungan itu, Hamza meminta semua Ketua Polis Daerah (KPD) memberi kerjasama padu kepada beliau dalam melaksanakan tugas berkenaan, sekali gus memastikan PDRM bukan setakat melaksanakan tugas dengan cemerlang, malah terus memastikan rakyat hidup tanpa sebarang kebimbangan.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Noor Rashid meminta KPD memberikan kerjasama padu kepada Hamza bagi memastikan pelaksanaan tugas secara licin dan berkesan.

Sehubungan itu, beliau meminta KPD memastikan pegawai dan anggota polis di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas secara penuh dedikasi sejajar tuntutan zaman yang memerlukan mereka memiliki ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

Sementara itu, Mohd Fuzi berkata, Noor Rashid berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dan ia harus diteruskan Hamza dengan keyakinan mampu membentuk pasukan polis yang berdaya tahan terhadap pelbagai cabaran semasa.

0 comments:

There was an error in this gadget