Followers

Saturday, October 23, 2010

Kerajaan diminta susun semula sistem pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyusun sistem pendidikan negara sedia ada agar lebih holistik dan dapat digunapakai sehingga 20 ke 30 tahun akan datang, kata wakil Pergerakan Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria.
Beliau berkata, meskipun sistem pendidikan sedia ada teradun hasil dari penggembelengan sistem pendidikan terbaik dari pelbagai sumber termasuk dari negara maju, namun adunan itu "terlalu banyak" sehingga membebankan anak-anak untuk menguasai kesemuanya.
"Ya, memang betul ada yang boleh, tetapi hakikatnya majoriti anak-anak tidak berupaya. Akhirnya, konsep menghafal tanpa faham menjadi-jadi. Ianya berterusan sampai ke menara gading dan hasilnya, impian kita untuk melahirkan modal insan yang sejati menjadi seolah-olah masak nasi separuh masak," katanya ketika menyokong usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Idamoerni mencadangkan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khusus yang menyeluruh dan dianggotai pakar untuk membuat perancangan teliti untuk jangka panjang sebelum satu dasar pendidikan itu dilaksanakan bagi memastikan kandungan pendidikan dipadankan dengan keperluan semasa industri.

Sambil menyatakan sokongan Puteri UMNO terhadap usaha menjadikan pelajaran vokasional dan teknikal sebagai pendidikan arus perdana, beliau berkata usaha memperkasakan aliran itu adalah penting bagi menganjakkan persepsi masyarakat bahawa ia adalah pendidikan kelas kedua atau khusus untuk golongan pelajar yang gagal dalam bidang akademik.

Bagi memantapkan hubungan simbiotik aliran itu dengan industri, beliau berkata Puteri UMNO mencadangkan agar kerajaan memberi insentif seperti mengenakan pelepasan cukai kepada syarikat yang mengambil graduan dan lulusan daripada aliran itu.

Idamoerni berkata, Puteri UMNO juga menggesa kerajaan untuk mengkaji, mentelaah dan menganalisis rumusan sebuah sistem pendidikan berteraskan satu aliran kerana ia bertepatan dengan usaha merakyatkan konsep 1Malaysia.
"Kerajaan telah banyak membuat perubahan dan peningkatan dalam memperkasakan sekolah kebangsaan akan tetapi perubahan yang kerap telah mengelirukan dan menyusahkan pelbagai pihak termasuk golongan guru, pelajar-pelajar dan ibu bapa selain melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar metodologi pembelajaran program Permata yang telah terbukti berjaya membentuk personaliti kanak-kanak yang lebih ceria, berkeyakinan diri, berdisiplin, terkawal serta penyayang diterapkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan dan diselaraskan bermula dari pendidikan awal sehinggalah prasekolah, dan dari sekolah rendah kepada sekolah menengah.

"Inilah modal insan yang kita impikan. Modal insan yang akan membawa negara kita ke dalam sebuah "terowong masa" yang mana akhirnya kita akan berlari, melompat, bersenda loka, ketawa di zaman milenium, bukan lagi sekadar merangkak ke arahnya," katanya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget