Followers

Saturday, October 23, 2010

Pilih wakil rakyat secara bijak: Musa Aman

KUALA LUMPUR: Rakyat di kawasan Parlimen Baru Sapi di Sabah diminta bijak memilih wakil rakyat yang mampu memastikan kelangsungan pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu memastikan apa yang diperlukan rakyat di kawasan itu menjadi realiti.
"Kita (BN) tahu apa tipu helah parti pembangkang dan kita tidak ada masalah untuk berdepan mereka. Kita mempunyai rekod khidmat yang baik, selalu bekerja membela nasib rakyat dan kita mahu pembangunan di kawasan tersebut diteruskan.
"Ini yang rakyat mahu. Bukan retorik atau cakap sahaja...cakap kosong, berjanji bohong ini tidak betul," katanya pada sidang akhabr di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk di Batu Sapi juga perlu sedar dengan adanya wakil rakyat BN yang memahami sentimen dan permasalahan tempatan, banyak agenda pembangunan akan boleh dilaksanakan.

Musa yang juga pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil itu, berkata jentera pilihan raya BN sudah cukup bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya kecil itu pada 4 November ini.

Mengulas mengenai calon BN bagi kawasan itu, beliau berkata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Perdana Menteri, telah bersetuju dengan calon yang dikemukakan oleh BN Sabah.
Musa berkata, calon itu adalah anak jati Sandakan dan disenangi rakyat di kawasan Batu Sapi.

BN dijangka mengumumkan calon tersebut dari Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 2 petang esok di Dewan Komuniti Sandakan.

Mengenai Parti Maju Sabah (SAPP) yang memilih Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti, Musa berkata penyertaan Yong memang telah dijangka.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan perbesarkan isu calon yang bertanding tetapi sebaliknya kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari PBS dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu pada 9 Oktober.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan Selasa ini, dan jika ada pertandingan, pengundian pada 4 November. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget