Followers

Thursday, October 14, 2010

Najib hurai 6 prinsip kukuhkan kerjasama ASEAN

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyenaraikan enam prinsip praktikal yang menjadi asas kerjasama berkesan mengenai pertahanan dan keselamatan serantau dalam kalangan negara ASEAN.
Pertama, kata Perdana Menteri, ialah betapa pentingnnya dalam soal pembabitan pelbagai negara ini, setiap negara anggota sama ada yang kaya atau miskin dan yang kecil atau besar, mengiktiraf peranan satu sama lain.
Seterusnya, katanya, peranan pihak lain yang mempunyai kepentingan besar di rantau ini tidak boleh diketepikan, khususnya dalam persekitaran global pada masa ini.
"Pendek kata, sebarang perjanjian kerjasama perlu bersifat menyeluruh dan semua pihak yang berkepentingan harus diberi ruang dan pengiktirafan dalam menangani apa saja isu.

"Pengalaman menunjukkan bahawa perjanjian yang menyeluruh seperti Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan dan bertindak menghadapi cabaran keselamatan serantau berdasarkan kerjasama dan tidak memburukkan lagi keadaan," katanya pada Forum Putrajaya di sini hari ini.

Forum yang julung kali diadakan itu bertujuan menggalakkan penyelesaian isu pertahanan dan keselamatan serantau menerusi perkongsian pengetahuan, perspektif dan perbincangan.

Ia bertemakan "Penonjolan Rangka Kerja Keselamatan Serantau" berikutan rantau ini menyaksikan kemunculan Asean+8, satu bentuk kerjasama baru mengenai keselamatan serantau.
Kedua, kata Najib, negara Asean perlu mengakui bahawa setiap negara anggota dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean-Campur (ADMM-Plus) berbeza daripada segi sejarah, budaya dan kedudukan ekonomi.

Oleh itu, bentuk kerjasamanya haruslah lebih anjal dan mengambil kira kemampuan dan dasar setiap negara anggota yang berbeza.

Katanya pihak-pihak berkepentingan juga perlu dibenarkan menyumbang selaras dengan kemampuan mereka.

"Perjanjian kerjasama ini harus ada ruang bagi membolehkan negara-negara yang berlainan keupayaan, kepakaran, hubungan budaya dan sumber untuk membentuk kumpulan penggerak yang dapat berdepan dengan cabaran keselamatan yang sama," katanya.

Najib berkata, langkah memupuk keyakinan perlu diambil ke arah menjalin dialog dan persefahaman yang lebih bermakna sesama rakan.

Tanpa persefahaman ini, katanya, sesuatu tindakan yang bertujuan baik oleh sesuatu negara boleh disalah tafsir dan dibantah oleh negara jiran, yang akan menyebabkan jiran enggan bekerjasama, atau lebih buruk lagi, mencetuskan konflik.

"Bagi mengelak salah faham ini, negara harus membabitkan yang lain dalam dialog dan forum mengenai isu keselamatan di pelbagai peringkat. Saya amat yakin kita sedang bergerak dengan betul untuk menjayakan semua keperluan ini," katanya.

Katanya, beliau juga yakin bahawa pelbagai bentuk rangka kerja keselamatan serantau mampu menjalin kerjasama yang berkesan dalam kalangan negara ASEAN.

"Malaysia mempunyai perjanjian kerjasama dengan Thailand dan Indonesia. Juga perjanjian kerjasama kita berhubung keselamatan di Selat Melaka membabitkan negara pesisir dan juga program pemantuan dari udara, eye-in-the-sky," katanya.

Perdana Menteri berkata, hubungan di peringkat institusi juga perlu wujud bukan saja berdasarkan kepada kehadiran pemimpin tentera tetapi juga di peringkat operasi.

"Umpamanya, jika kita mengadakan operasi di sesuatu kawasan, maka kita harus kenal rakan sejawatan kita. Jika ada apa-apa berlaku, kita boleh bertindak balas tanpa menimbulkan apa-apa ketegangan di kawasan operasi itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, negara ASEAN harus akur bahawa masalah akan berlaku di rantau ini atau dengan jiran mereka termasuk perkara yang belum diselesaikan sejak bertahun-tahun lalu.

"Apa yang penting ialah kita sepakat mengenai cara menanganinya, sama menerusi dialog atau rundingan. Jika kita memilih rundingan, maka kita mesti ada sifat tolak ansur bagi mencari penyelesaian," katanya.

Najib berkata, negara ASEAN harus benar-benar faham mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi rantau ini supaya mereka dapat mencari kaedah terbaik menanganinya.

"Tidak dinafikan bahawa kerjasama pertahanan dua hala adalah penting tetapi pertimbangan yang lebih besar bagi semua negara adalah untuk melindungi keselamatan dan integriti serantau," katanya. - BERNAMA

0 comments: