Followers

Sunday, October 10, 2010

Tindakan PROTON panggil semula Gen2, Satria Neo tidak jejas reputasi: Mukhriz

JERLUN: Tindakan syarikat pengeluar kereta nasional negara, Proton Holdings Bhd (PROTON) memanggil semula 15,911 unit kereta model Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 hingga 2008 minggu lalu tidak akan menjejaskan reputasi jenama berkenaan di luar negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata masalah kerosakan pada 'clock spring' model berkenaan mungkin menjejaskan sedikit imejnya namun tindakan berani mereka mengumumkannya dan memanggil semula model terbabit mampu menyeimbangkan kembali pandangan masyarakat luar yang menganggap PROTON sebagai jenama serius dalam industri ini.
Katanya, tindakan seumpama itu selalu berlaku dan ia membabitkan jenama pengeluar yang lebih besar dan ternama, berbanding PROTON seperti, Toyota, Honda dan Volvo yang memanggil semula modelnya untuk membaikpulih masalah atau kerosakan yang berlaku walaupun sudah dijual ribuan unit.
"Bagi saya pandangan orang luar terhadap PROTON tidak akan terjejas kerana tindakan memanggil balik model ini biasa dilakukan oleh pengeluar kereta yang lebih ternama berbanding PROTON.

"Pendekatan yang diambil PROTON ini pada saya adalah tepat dan boleh meningkatkan kredibiliti mereka dalam industri ini. Persoalan mengenai tindakan yang lambat sebenarnya tidak timbul kerana sesuatu masalah pada mana-mana komponen kereta mungkin hanya dapat dikesan dalam jangkamasa tertentu.

"Saya juga difahamkan kerosakan yang dialami ini tidak besar dan tidak membabitkan komplikasi yang terlalu serius terhadap kedua-dua model berkenaan," katanya selepas melancarkan Kelab Ulul Albab di Dewan Serbaguna Majlis Derah Padang Sera, Kodiang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Abdullah Saad.
Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan PROTON memanggil semula kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 hingga 2008 disebabkan kerosakan pada komponen 'clock spring' yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dilaporkan berkata komponen terbabit menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada peralatan seperti radio, hon dan kawalan 'cruise'.

Katanya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan pada clock spring menyebabkan bunyi geseran dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang sendiri, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes lebih serius boleh menyebabkan pelepasan beg udara di bahagian pemandu.

Beliau berkata, panggilan sukarela itu adalah sebahagian daripada program jaminan kualiti global Proton membabitkan 15,911 unit atau dua peratus daripada 660,000 unit kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh berkenaan.

PROTON dalam pada itu mengumumkan sebanyak RM4 hingga RM5 juta akan dibelanjakan untuk melaksanakan proses itu.

0 comments: