Followers

Friday, October 1, 2010

Pelantikan Ku Li pengarah pilihan raya BN tidak beri kelebihan kepada PAS atau UMNO

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, berkata beliau tidak nampak pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas nanti, memberi kelebihan kepada parti yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) atau PAS.

Ia kerana, katanya, yang akan bertanding bukannya antara ahli Parlimen Gua Musang itu dengan PAS, tetapi antara PAS dengan UMNO.
“Jadi, saya tak nampak pelantikan Tengku Razaleigh itu boleh memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sama ada PAS atau UMNO. Yang pasti PAS akan berlawan dengan UMNO bukannya dengan Tengku Razaleih,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Kelantan di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, PAS menaruh keyakinan untuk mempertahankan kerusi DUN Galas itu berdasarkan kepercayaan rakyat kawasan berkenaan serta rekod perkhidmatan parti itu melalui bekas wakil rakyatnya, Allahyarham Chek Hashim Che Sulaima.

“Kita masuk pilihan raya ni, tidak kira siapa yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan raya, yang penting kita akan memastikan kemenangan setiap kali kita berdepan dengan parti dalam satu-satu pilihan raya,” katanya.

Katanya, peranan yang dimainkan Allahyarham menjadi satu aset penting penerimaan rakyat atau pengundi kawasan itu untuk memilih PAS pada pilihan raya kecil itu.
Mengulas saranan Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan supaya UMNO dan PAS berkompromi dan memberi laluan tanpa bertanding kepada PAS, Nasharuddin berkata, ia suatu lontaran pendapat peribadi Takiyuddin sendiri.

Beliau juga yakin pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan suasana kempen parti politik dalam pilihan raya kecil itu, kerana suasana politik di Kelantan berbeza dengan negeri lain.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandang wakil rakyat kawasan itu, Chek Hashim Che Sulaiman, 46 akibat penyakit barah usus Isnin lalu. - BERNAMA

0 comments: