Followers

Friday, October 1, 2010

Penuntut Malaysia didenda import ketamin di Australia

MELBOURNE: Seorang penuntut Universiti Monash yang dikatakan anak seorang peguam berprofil tinggi Malaysia, disabitkan kesalahan dan didenda A$10,000 di sebuah Mahkamah Majistret di sini, Khamis kerana mengimport ketamin.

Akhbar The Age melaporkan, Miki Yee, 23, dari Southbank di sini, mengaku bersalah atas tuduhan mengimport dan mengedar ketamin yang dilarang dan memiliki marijuana.
Mahkamah diberitahu bahawa Yee ditahan di apartmennya pada Mac tahun ini selepas ketamin itu ditemui dalam satu bungkusan dari Kuala Lumpur.
Peguam bela Tom Sawyer, berkata Yee, yang mengaku menjual ketamin kepada kawan-kawannya, menggunakan dadah itu sejak berumur 16 tahun dan membelinya di Malaysia dengan harga sehingga A$70 satu gram.

Akhbar itu memetik Sawyer sebagai berkata, bahawa selepas Yee tiba pada 2009 untuk pengajiannya, beliau mendapati harga ketamin di Australia terlalu mahal, meningkat kepada A$1,000 bagi lima gram.

Timbalan Ketua Majistret Jelena Popovic, berkata beliau "agak terkejut" bahawa Yee yang mengimport 332 gram dadah itu "hanya didenda saja".

Pendakwa Raya Matt Ryan berkata, ia satu "anomali" dalam Akta Kastam bahawa dakwaan itu hanya boleh diputuskan secara ringkas; di sebuah mahkamah majistret; dengan denda maksimum A$110,000.
Ryan memberitahu Popovic bahawa Pengarah Pendakwaan Awam Komanwel sedar dengan keadaan itu "tetapi tiada apa-apa yang dilakukan untuk memperbetulkannya lagi."

Popovic memberitahu Yee, dalam mensabitkan dan mendendanya A$10,000 bagi kesalahan mengimport bahawa "jika saya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman denda yang lebih besar saya akan lakukan."

Mengenai dakwaan lain, Yee juga disabitkan kesalahan dan diletakkan di bawah perintah bagi menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 18 bulan. - BERNAMA

0 comments: