Followers

Saturday, September 18, 2010

Rumah terbuka pupuk perpaduan nasional: PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Pekan, di sini berkata amalan rumah terbuka menjadi satu wadah untuk memupuk persefahaman, keharmonian dan saling menghormati antara sesama rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Rumah terbuka akan lebih bererti sekiranya kita bukan hanya membuka rumah tetapi turut membuka hati kita.
"Jika kita membuka rumah dengan menerima tetamu tanpa mengira siapa, kaum dan agama, ia akan menjadi wadah yang bermakna untuk memupuk perpaduan nasional berasaskan Gagasan 1Malaysia," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Najib turut mengingatkan pemimpin Umno supaya sentiasa bersikap rendah diri dan tawaduk serta sanggup menerima kedatangan rakyat ketika mereka dalam keadaan susah atau senang.

"Jika kita berada pada landasan yang benar dan berpegang kepada gagasan 1Malaysia, saya percaya rakyat akan tetap memberi sokongan kepada kita terutama apabila kita memerlukannya," katanya.

Setakat ini, lebih 50,000 tetamu menghadiri rumah terbuka yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang ini.

Hadirin yang mengunjunginya berpeluang menikmati pelbagai juadah disediakan di hampir 100 gerai.
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhamad dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Haiza, Maya, Syed Sobrie serta Jaafar Onn dan Raja Azura bertindak sebagai pengacara. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget