Followers

Saturday, September 18, 2010

Malaysia tak perlu nasihat Lee Kuan Yew: Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Malaysia tidak perlukan nasihat Menteri
Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kerana mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kepelbagaian dan komposisi kaum serta adat resam masyarakat
di Malaysia jauh berbeza dengan Singapura.

"Kita jauh berbeza dengan Singapura dan kenyataan Lee yang mengkritik sistem
diamalkan di negara ini tidak boleh diterima kerana Malaysia menggunakan
langkah dan kaedah yang berlainan dalam menguruskan hal berkaitan budaya serta perbezaan agama pelbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah
terbuka Aidilfitri beliau di sini hari ini.

Lee dalam akhbar New York Times keluaran 1 Sept lepas mengkritik sistem
diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta
menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Lee turut membayangkan Malaysia mungkin lebih baik
jika tidak terpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai
tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut menafikan Malaysia
menyisih dan mengetepikan kaum minoriti di negara ini.

"Kalau kita buat begitu (menyisihkan kaum) sudah tentu Malaysia menghadapi
masalah...negara tidak pernah menyisihkan mana-mana kaum dan sentiasa menganggap
semua kaum sangat penting kepada negara.

"Pelbagai etnik dan kaum ada di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,
Sehingga kini tidak pernah timbul mana-mana kaum disisihkan dan kerajaan juga
sentiasa bersikap adil kepada semua," katanya. -- BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget