Followers

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Pemimpin politik jangan buat tafsiran sendiri

KULIM: Pemimpin politik di negara ini sepatutnya tidak membuat tafsiran sendiri mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail Nasution, berkata semua pihak sepatutnya bermengambil sikap bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan tugas mereka.
“Jika terlalu banyak pihak membuat pelbagai tafsiran...akan menjadi lebih mengelirukan terutama persepsi umum terhadap kes yang belum selesai," katanya kepada pemberita selepas program Rapat 1Malaysia di sini petang semalam.
Lebih 500 peserta terdiri daripada ketua-ketua cawangan dan anggota jawatankuasa parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis anjuran Penyelaras Parlimen kawasan berkenaan sebagai sebahagian majlis menyambut Hari Malaysia.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang juga Penyelaras Parlimen kawasan itu.

Sahlan berkata mana-mana pihak tidak perlu turut masuk campur dengan tugas polis dan menyerahkan kepada pihak berkenaan menjalankan tugas mereka secara profesional kerana kelak akan lebih mengelirukan lagi suasana.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan tugas yang dijalankan pihak polis adalah memuaskan dan adil untuk semua pihak," katanya.
Sementara itu, Sahlan berkata ada kumpulan-kumpulan yang telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya satu Suruhanjaya Kesamarataan diwujudkan tetapi sehingga kini kerajaan tidak menerima ataupun menolaknya.

“Ia adalah satu cadangan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau untuk membuat pertimbangannya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri masih kekal dengan prinsip “keadilan untuk semua”. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget