Followers

Friday, September 17, 2010

PM mahu perpaduan dipupuk antara lapisan kaum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak mahu melihat Malaysia terus aman damai dengan semangat perpaduan terjalin secara intra dan inter kumpulan di kalangan semua kaum.
Perkara itu dinyatakan oleh Najib ketika pertemuan dengan Jawatankuasa
Mempromosikan Keharmonian dan Persefahaman antara Penganut Agama pada Selasa
lepas di pejabatnya di Putrajaya.

Penyelaras Khas Perhubungan antara Penganut Agama Datuk Ilani Isahak, yang
juga pengerusi jawatankuasa itu, berkata Perdana Menteri semasa menyampaikan
amanatnya mengakui perlunya diadakan banyak lagi perjumpaan dengan jawatankuasa ini dan beliau menganggap perjumpaan kali ini senagai permulaan.

"Beliau (Najib) melafazkan sokongan kepada jawatankuasa ini sebagai sebuah
mekanisme yang boleh menyelesaikan masalah atau isu dan menyatakan persetujuan
untuk menyediakan bajet bagi membantu kerja-kerja jawatankuasa ini," kata Ilani
dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ilani berkata jawatankuasa itu ditubuhkan untuk memupuk keharmonian di
kalangan masyarakat sebagai menepati hasrat gagasan 1Malaysia yang membawa
perpaduan ke tahap lebih bermakna.

Perjumpaan selama 45 minit itu turut dihadiri dua penasihat jawatankuasa
berkenaan, masing-masing Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu
Koon dan Datuk Seri Mej Jeneral (B) Jamil Khir Baharom.

Rombongan itu, yang diketuai oleh Ilani, terdiri daripada wakil-wakil
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia
(Ikim), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Institut
Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Majlis Perundingan Malaysia
Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Interfaith Spiritual
Fellowship (INSAF).

Presiden MCCBCHST Reverend Dr Thomas Philips berkata kesudian Najib
meluangkan masa bertemu jawatankuasa itu merupakan manifestasi komitmen dan
kesungguhan beliau untuk mentransformasikan negara dan memupuk perpaduan
berasaskan semangat 1Malaysia. -- BERNAMA

0 comments: