Followers

Thursday, September 2, 2010

Gerakan anti-Malaysia tidak cerminkan sentimen seluruh rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR: Tindakan agresif gerakan anti-Malaysia di Indonesia dibangkitkan oleh segelintir pihak saja dan ia tidak mencerminkan sentimen keseluruhan rakyat republik itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa, yang akan menamatkan perkhidmatannya hari ini.

"Saya melihat bahawa tindakan ini tidak mencerminkan sentimen keseluruhan dan saya percaya bahawa kedua-dua kerajaan akan dapat mencari penyelesaian yang baik terhadap isu ini," katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan kakitangan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) sempena persaraannya di sini, hari ini.
Rastam, 59, akan digantikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Luar, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman berkuatkuasa esok.
Kumpulan yang menggelar diri sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat Malaysia dari Indonesia.

Rastam yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada tahun 1999 berkata, diplomat sentiasa memainkan peranan untuk menentukan hubungan baik antara dua negara.

"Tetapi kadang-kala kita tidak dapat kawal perasaan individu atau perasaan kumpulan-kumpulan tertentu, di Malaysia pun kita tak dapat kawal perasaan individu-individu terhadap negara lain," katanya.

"Jadi dalam hal ini yang penting adalah semua pihak harus sedar bahawa dalam hubungan sesebuah negara itu, tindak-tanduk individu ataupun kumpulan sama ada untuk memburukkan negara sendiri atau memburukkan negara lain, akan menimbulkan masalah," katanya.
Beliau juga menasihatkan diplomat yang mengalami konflik seperti itu supaya bertenang dan memberi laporan yang tepat kepada kerajaan supaya satu keputusan yang baik boleh dibuat.

"Dalam keadaan seperti ini, diplomat di luar negara haruslah juga menentukan bahawa keselamatan diri, keluarga dan rakyat Malaysia dapat dijamin iaitu dengan mengambil langkah-langkah keselamatan tertentu. - Bernama

0 comments: