Followers

Thursday, September 2, 2010

Muhyiddin yakin rakyat Indonesia di Malaysia tidak terpengaruh dengan BENDERA

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau percaya sebahagian besar rakyat Indonesia yang berada di negara ini tidak akan terpengaruh dengan seruan kumpulan di negara itu dikenali Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) supaya mereka pulang ke Indonesia dan tidak lagi bekerja di negara ini.
"Saya percaya sebahagian besar mereka yang berada di sini adalah orang yang menghargai apa yang telahpun kita buat untuk menolong mereka dan kita di sini juga amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia.
"Saling memerlukan ini saya fikir adalah sesuatu yang patutnya menjadi asas pertimbangan, bukannya kerana ada seruan pihak di sana. Kalau mereka pulang ke sana pun mungkin mereka tak dapat jaminan dari Bendera ke, apa ke, mengatakan mereka akan memperoleh pendapatan dan pekerjaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai gesaan Koordinator BENDERA, Mustar Bona Ventura Manurung, supaya Jakarta segera mencari jalan untuk membawa pulang kira-kira dua juta warga Indonesia yang bekerja di negara ini, dan seterusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur bagi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia juga tidak perlu memberi reaksi terhadap tuntutan berkenaan kerana apa yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah secara diplomasi bagi menjaga hubungan jangka panjang kedua-dua pihak.

Untuk itu, katanya, segala isu berbangkit mengenai hubungan kedua-dua negara akan dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Luar kedua-dua negara dalam pertemuan di Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

"Fakta bahawa begitu ramai orang Indonesia bekerja di Malaysia ini sudah lama diterima dan kita tak pernah menghalang kerana kita tahu ini untuk kebaikan bersama, bukan saja untuk Malaysia tapi juga untuk Indonesia.
"Atas dasar itu kita tak mahu bersikap terlalu emosi, kita harus bersikap rasional dan segala apa tindakan yang kerajaan kedua-dua negara akan ambil, tidak bersandar kepada sentimen sekelompok manusia yang mungkin ada muslihat-muslihat tertentu," kata Muhyiddin. - Bernama

0 comments: