Followers

Monday, August 23, 2010

Malaysia, Indonesia muktamad MoU pembantu rumah

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia hari ini sepakat memuktamadkan peruntukan dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia yang antara lain menetapkan satu kadar bayaran pengambilan yang lebih rendah daripada kadar pasaran sekarang.
Dengan tidak menyatakan kadar yang dipersetujui itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap, berkata ia lebih rendah daripada RM8,000 hingga RM9,000 seperti yang perlu dibayar oleh majikan sekarang tetapi lebih tinggi daripada kadar RM4,000 yang ditetapkan dalam MoU 2006.
"MoU baru itu juga menggariskan dengan jelas perlindungan kepada majikan terutamanya jaminan penggantian yang dipanjangkan kepada enam bulan daripada tiga bulan yang ditetapkan sebelum ini.
"Apa yang berlaku sekarang ialah majikan bukan sahaja perlu membayar kos pengambilan yang tinggi sebagai bayaran pendahuluan, malah mengalami kerugian tidak mendapat pengganti pembantu rumah apabila pembantu rumah mereka lari pada bulan keempat kerana jaminan sekarang hanya tiga bulan," katanya selepas mesyuarat keenam Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan pekerja domestik Indonesia di sini hari ini.

Beliau berkata, MoU itu juga memperuntukkan bahawa majikan boleh dibayar balik bayaran pendahuluan mereka jika tidak mendapat pembantu rumah gantian.

"Ia turut mengambilkira kepentingan tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan agensi pekerjaan selain menggariskan dengan jelas tanggungjawab mereka," katanya.

Raja Azahar berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju membentuk pasukan petugas di Malaysia dan di Indonesia yang akan menjadi badan pemantau bagi pelaksanaan MoU itu.
Beliau mengetuai delegasi 11 orang dari Malaysia pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama itu hari ini, mesyuarat keenam selepas kedua-dua negara bersetuju meminda MoU 2006 berkenaan Pengambilan dan Penempatan Pembantu Domestik Indonesia.

Malaysia dan Indonesia telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk MoU baru itu pada 18 Mei lalu ketika rundingan tahunan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Kuala Lumpur.

LOI itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar. - BERNAMA

0 comments: