Followers

Monday, August 23, 2010

Surau di Sikamat dilempar botol arak, cat merah

SEREMBAN: Surau Taman Pulai Impian, Sikamat dekat sini disimbah dengan cat merah dan dibaling dengan botol arak hari ini.

Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata jenayah itu disedari jemaah surau pada waktu subuh pagi tadi.
"Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya telah membuat laporan polis secara rasmi," katanya.
Mohd Hasbi berkata, selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.

"Saya rasa amat sedih dan kesal atas kejadian yang berlaku kerana mencemari rumah ibadat orang Islam dan kesucian bulan Ramadan," katanya.

Surau yang tidak berpagar itu baru digunakan pada 24 Julai lalu.

"Saya anggap ini adalah satu perbuatan khianat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak tahu apakah motif sebenar mereka yang melakukan kerja ini dan berharap pihak polis akan menyiasat sehingga tertangkapnya mereka yang terbabit dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

0 comments: