Followers

Monday, August 9, 2010

Mariam seniwati filem Melayu 50-an meninggal dunia

SINGAPURA: Seniwati filem Melayu tahun 50-an, Mariam Baharum, 75 iaitu ibu kepada penyanyi terkenal Singapura Rahimah Rahim meninggal dunia di rumahnya di sini, pagi tadi.
Menurut ahli keluarganya, Mariam, bekas pelakon veteran di Studio Malay Films Production di Jalan Ampas, meninggal dunia kerana sakit tua di kondominiumnya di Yishun kira-kira jam 5.50 pagi.
Allahyarham Mariam adalah kakak kepada primadona Allahyarham Datin Saadiah iaitu isteri kepada pelakon, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, dan ibu kepada pelakon cilik filem "Batu Belah Batu Bertangkup", Allahyarham Bat Latiff.
Mariam atau lebih dikenali dengan panggilan Mariam Tahi Lalat di kalangan peminatnya dilahirkan di Singapura pada tahun 1935, dan pernah berlakon bersama seniman agung, Allahyarham P Ramlee dalam filem “Anjuran Nasib” arahan B S Rajhans pada 1952.

Menerusi filem itu, Mariam memenangi gelaran “Bintang Pujaan Wanita Malaya Kedua” oleh Filem Raya Magazine pada 1953 dan juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-15 pada 2001 dan FFM ke-22 di Kota Kinabalu tahun lalu.

Allahyarham yang pernah menjadi pelayan restoran sebelum menceburi dunia perfileman, Mariam tampil menerusi lakonan filem seperti “Aloha” (1950), “Dewi Murni” (1950), “Kembar” (1950), “Aladdin” (1952), “Kipas Hikmat” (1955), “Abu Hassan Penchuri” (1955) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

Antara pelakon yang seangkatan dengan Mariam ialah Kasma Booty, Osman Gumanti, Datuk Mustapa Maarof, pelawak, S Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang.

Allahyarham meninggalkan enam anak daripada dua perkahwinan. - Bernama

0 comments: