Followers

Sunday, June 6, 2010

Malaysia akan terus tekan Israel hentikan kezaliman: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan usaha bersama masyarakat antarabangsa bagi memaksa Israel menamatkan kezaliman terhadap rakyat Palestin, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu tekanan diplomatik terhadap Israel ditingkatkan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan yang boleh menamatkan kepungan terhadap Gaza.
"Tindakan susulan mesti kita lakukan, kita tidak mahu sekadar satu usul yang mengutuk Israel tetapi tindakan yang boleh membawa perubahan.
"Ini yang kita nak, bukan setakat berhenti dengan usul tetapi tindakan dengan PBB supaya Israel tidak lagi membuat tindakan begitu zalim terhadap rakyat Palestin," katanya dalam temubual secara langsung bersama TV3 di kediamannya di sini sebentar tadi.

Najib ditemui pada majlis meraikan kepulangan 12 sukarelawan Malaysia pagi tadi selepas ditahan tentera Israel Isnin lalu yang menyerang dan menawan kapal mereka, Mavi Marmara.

Sukarelawan terbabit adalah antara ratusan aktivis yang menyertai flotila misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perdana Menteri juga berharap enam lagi sukarelawan Malaysia dalam misi kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel petang semalam akan dibebaskan dan selamat kembali ke tanah air.
"Saya difahamkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, pada jam 6 petang ini mereka akan dibebaskan. InsyaAllah mereka akan selamat," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu kemudian, Najib berkata kesanggupan sukarelawan negara menggadai nyawa untuk membantu rakyat Palestin yang sekian lama menderita akibat kekejaman Israel itu amat dihargai kerajaan dan mungkin menjadi catatan dalam sejarah pembebasan Palestin kelak.

"Mungkin mereka kata orang lain lebih layak digelar wira tetapi mereka 12 ini adalah wira negara yang kami amat bangga sekali.

"Apa yang dilalui mereka bukan saja menyayat hati tetapi akan membua mata rakyat Malaysia dan dunia mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang selama ini kita sekadar baca dan lihat di kaca televisyen...," katanya.

Merujuk bukti kekejaman komando Israel membunuh sembilan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di atas kapal Mavi Marmara itu, Perdana Menteri berkata ia bukan saja satu bentuk keganasan tetapi contoh sebenar takrifan keganasan yang ditaja negara.

"Hakikatnya, kumpulan yang tiada senjata diserang tanpa perasaan sama sekali dan ditembak dengan senjata dari jarak dekat. Malah ada yang ditembak dari belakang, ini 'cold blooded act of killing' (pembunuhan bersahaja) yang dilakukan komando Israel atas arahan rejim Tel Aviv," katanya.

0 comments: