Followers

Sunday, June 6, 2010

Sukarelawan diarah bogel semasa soal siasat Israel

SHAH ALAM: "Saya diarah berbogel semasa disoal siasat selama setengah jam kerana disangka pengganas dan mempunyai kaitan dengan rangkaian al-Qaeda. Mereka cuba kaitkan saya dengan al-Qaeda tetapi saya cakap kami ialah aktivis.
"Mereka mungkin menyangka saya pengganas sebab rambut saya di dalam pasport panjang sedangkan semasa ditahan, saya berambut pendek seperti seorang komando," kata exco badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Abd Halim Mohd Redzuan, 40.
Menceritakan pengalaman semasa ditahan di sebuah penjara lama oleh tentera Israel, Abd Halim berkata beliau ditempatkan bersama-sama seorang Ahli Parlimen Bahrain dan seorang pegawai masjid dari Indonesia.
"Sepanjang 15 jam ditahan di penjara itu, kami banyak dengar bagaimana tentera Israel gunakan kekerasan pada banduan lain dan keadaan penjara juga sangat teruk.

Semasa dibebaskan mereka cakap mereka nak bawa kami ke penjara lain dan bila tiba di sempadan Jordan, barulah saya nampak kawan-kawan lain, lega sangat rasanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Abd Halim bersama lapan daripada 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal "Mavi Marmara", diraikan dalam satu majlis menyambut kepulangan mereka sejurus selepas tiba di tanah air pagi tadi.

Mereka dibebaskan oleh Israel Rabu lalu, hampir dua hari setelah kapal Turki yang dinaiki untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.
Abd Halim juga antara tiga aktivis yang ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha oleh tentera Israel.

Katanya, sejurus tiba di sempadan Jordan, beliau menggunakan telefon bimbit milik seorang pegawai Kedutaan Malaysia untuk menghubungi Pengerusi Lifeline4Gaza (LL4G) Zulkifli Mohd Nani dan isterinya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Abd Halim yang berasal dari Klang berkata, buat masa ini beliau hanya ingin meluangkan masa bersama-sama keluarga.

Sementara itu, ketua misi LL4G Noorazman Mohd Samsuddin, 41, berkata walaupun berhadapan saat-saat genting semasa kapal mereka diserang tentera Israel, semua 12 sukarelawan negara telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi situasi seumpama itu.

"Alhamdulillah, bila diserang, kami tidak takut dan tenang menghadapi situasi genting itu," katanya yang berasal dari Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Noorazman berkata pengalaman "duduk di antara dua sujud" selama lebih 15 jam dengan tangan diikat ke belakang, adalah antara pengalaman perit yang tidak akan dilupakan.

"Selepas melalui pengalaman itu, kami kemudian dibawa ke sebuah penjara dalam keadaan mata ditutup selama kira-kira sembilan jam dan ditahan di penjara dengan dua hingga empat orang dalam satu sel selama 12 jam sebelum dibebaskan.

"Selepas mereka berpuas hati dengan soal siasat, kami disuruh keluar dari Israel secepat mungkin, kerana menurut mereka, jika kami berada lebih dari tiga hari di situ, kami boleh dibicarakan," katanya.

Noorazman berkata, pengalaman perit sepanjang ditahan tentera Israel, tidak melemahkan semangat mereka kerana selepas ini, mereka merancang menghantar satu lagi konvoi bagi misi bantuan kemanusiaan yang lain ke Gaza, cuma masanya belum ditetapkan lagi. - BERNAMA

0 comments: