Followers

Friday, June 4, 2010

Sukarelawan Rachel Corrie tekad teruskan misi

IPOH: Sukarelawan antarabangsa termasuk enam rakyat Malaysia yang menaiki kapal tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), MV Rachel Corrie, bertekad meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza, walaupun menerima tekanan daripada Israel.
Sukarelawan negara yang juga Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, berkata walaupun sebuah pesawat udara berlegar-legar berhampiran kapal mereka, ia langsung tidak melunturkan semangat bagi menunaikan misi yang diamanahkan.
"Setakat jam 11 pagi di Laut Mediterranean hari ini, kami sudah berada pada kedudukan 150 batu nautika dari pantai Gaza dan tiada apa-apa berlaku terhadap kami walaupun pesawat Israel berlegar mengelilingi kapal ini semalam.
"InsyaAllah, jika tiada aral melintang kira-kira jam 3 petang esok waktu Malaysia, kami mungkin boleh berlabuh pada kedudukan 25 batu nautika dari pantai Gaza," katanya ketika dihubungi Radio Perak.fm, petang tadi.

Terdahulu, AFP melaporkan Gerakan Bebaskan Gaza yang menganjur misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu sebagai menyatakan ia kehilangan semua hubungan dengan Rachel Corrie.

Selain Mohd Nizar, turut berada di atas Rachel Corrie adalah wakil PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal, peguam Matthias Chang, dan dua wakil TV3.

Mengenai kemungkinan yang akan dihadapi mereka, Mohd Nizar berkata mereka mungkin akan diberi amaran dan diarah berpatah balik atau dibenarkan berunding atau kapal itu dinaiki tentera Israel untuk dibawa ke negara Yahudi itu.
"Walau apa pun berlaku, kami ada kesepakatan yang cukup baik, kami tabahkan hati, kita akan membuat keputusan sebaik-baiknya untuk mencapai tahap itu (menunaikan misi kemanusiaan).

"InsyaAllah, berkat doa rakyat Malaysia dan mereka yang mencintai keamanan di seluruh dunia, kami mampu menunaikan amanah ini.

"Kami berharap seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga, terutama penduduk Parit, isteri dan ibu bapa, mendoakan agar misi ini berjaya," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan penaung PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia akan terus menaja misi bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia ke Gaza walaupun berdepan risiko keganasan rejim Israel yang sering menyekat laluan ke Gaza.

Katanya, jika misi dihentikan, Tel Aviv akan sewenang-wenangnya mencabuli hak kemanusiaan serta mengetepikan undang-undang antarabangsa.

"Kalau terpaksa patah balik, kita akan cuba lagi. Ini perjuangan kemanusiaan yang tidak boleh kita hentikan semata-mata kita menghadapi halangan. Kita akan cuba apa sahaja sehingga Israel terpaksa membenarkan bekalan sampai ke Gaza," katanya dalam tembual dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 hari ini.

Dr Mahathir berkata, keganasan Israel menyerang kapal Turki, Mavi Marmara, Isnin lalu dan membunuh sekurang-kurangnya sembilan aktivis telah meningkatkan kesedaran dan simpati rakyat Malaysia terhadap perjuangan membantu Palestin.

Beliau yakin lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan agama akan mengikuti perjuangan untuk membela nasib rakyat Palestin.

0 comments: