Followers

Friday, June 4, 2010

Sukarelawan Malaysia dalam perjalanan pulang

AMMAN: Sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang dibebaskan Israel kelmarin selepas ditawan Isnin lalu ketika belayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, meninggalkan Amman untuk ke Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Mereka diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dan pegawai kementerian yang lain menaiki pesawat Royal Jordanian (RJ).
Penerbangan RJ165 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia).
Hadir sama di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada rombongan itu ialah Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

Mereka dijadual berlepas dari Istanbul pada petang Sabtu dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 5.50 pagi Ahad.

Seorang pegawai di kementerian itu memberitahu BERNAMA di sini bahawa ketibaan rombongan berkenaan akan disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka dan keluarga masing-masing kemudiannya akan dibawa menaiki tiga bas menuju ke kediaman persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Semua 12 rakyat Malaysia itu, termasuk dua petugas Astro Awani, berada di atas kapal Turki, MV Mavi Marmara, yang diserang tentera Israel di perairan antarabangsa Isnin lalu, sehingga mengorbankan sembilan nyawa.

Kapal yang turut dinaiki aktivis negara lain itu dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang semakin sengsara akibat kepungan Israel sejak tiga tahun lalu. - BERNAMA

0 comments: