Followers

Monday, May 31, 2010

Ratusan tan sisa plastik dibuang dekat taman perumahan di Kuala Ketil

BALING: Sejak beberapa bulan lalu, penduduk Taman Orkid dan Taman Batu Pekaka di Kuala Ketil dekat sini berhadapan dengan masalah sampah dan bau busuk tidak terhingga berikutan tindakan pihak tertentu melonggokkan beratus-ratus tan bahan buangan sisa plastik berhampiran kawasan kediaman mereka.
Lebih membimbangkan tengah hari semalam pihak yang tidak bertanggungjawab itu bertindak membakar sampah yang dimasukkan ke dalam lubang yang dikorek hingga menimbulkan asap tebal dengan bau busuk yang dapat dilihat dalam jarak lebih tiga kilometer.
Beberapa penduduk di sini mendakwa pembuangan bahan daripada sisa plastik di kawasan itu berlaku lebih tiga bulan dan tiada tindakan mana-mana pihak termasuk Majlis Daerah Baling (MDB), walaupun selepas aduan dibuat.
Seorang Ahli Majlis Daerah Baling, Chang Sung Lim, 50, ketika ditemui di tempat pembuangan sisa plastik berdekatan Taman Orkid petang semalam berkata beliau beberapa kali membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tetapi tiada tindakan diambil hingga semalam.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar bahan sisa plastik yang mengeluarkan bau busuk hingga mengganggu penduduk di kawasan taman berkenaan.

"Tindakan membakar bahan plastik ini tidak wajar kerana ia boleh menyebabkan pencemaran udara di kawasan taman perumahan di sini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu seorang penghuni Taman Batu Pekaka, Mohd Zailani Hashim, 45, berkata tiada tindakan diambil oleh pihak yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah itu.
"Saya amat kesal kerana beratus tan sisa buang daripada bahan plastik dibuang di kawasan ini, tetapi tidak ada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak," katanya.

Penghuni Taman Orkid yang tinggal berhadapan dengan kawasan pembakaran itu, Abdullah Abd Rahim, 34, kesal tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun kejadian pembuangan sisa bahan plastik itu sudah dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Daerah Baling sebelum ini.

Usaha memadam pembakaran longgokan sisa buangan plastik di kawasan itu dilakukan dengan menggunakan sebuah jentolak untuk menimbuskan tanah di atas sisa buang plastik yang terbakar, dipercayai dilakukan oleh pihak yang melonggokkan sisa buangan berkenaan setelah menyedari kehadiran media dan penduduk di kawasan berkenaan akibat asap tebal itu. - Bernama

0 comments: