Followers

Monday, May 31, 2010

Malaysia kekal import beras jika kos jelapang padi tinggi

CHANGLUN: Malaysia mungkin akan terus mengimport beras jika hasrat kerajaan menambah kawasan jelapang padi di negara ini memerlukan kos yang lebih besar daripada kos mengimport beras.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata pada masa ini negara mengimport 30 peratus beras dan kerajaan akan mengkaji daripada pelbagai sudut sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.
"Kita kaji sama ada mahu mengeluarkan 100 peratus beras kepada rakyat atau pun mengekalkan import sebanyak 30 peratus," katanya kepada pemberita selepas menutup program Hari Bertemu Pelanggan bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Napoh di sini petang semalam.
Beliau berkata, buat masa ini tumpuan akan diberi kepada usaha menaik taraf kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam usaha mengeluarkan padi yang lebih berkualiti.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kementerian memperuntukkan RM140 juta bagi menaik taraf kawasan Mada. Ia termasuklah memberi pampasan kepada penduduk kerana sungai dan terusan dalam kawasan Mada berada di atas tanah mereka," katanya.

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, berkata Keda akan membina kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Keda Napoh bagi memudahkan pengunjung yang melalui kawasan itu berehat kerana di situ belum mempunyai kawasan rehat.

Projek bernilai kira-kira RM5 juta itu akan mula dilaksanakan Jun ini dan dijangka siap hujung tahun depan. - Bernama

0 comments: