Followers

Monday, May 17, 2010

Satu kluster ILI dilapor di Perak

PUTRAJAYA: Satu laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) dilapor di Perak sehingga 8 pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, kluster itu dilapor di Tadika Usaha Junior di Kuala Kurau, Perak.
"Sehingga 5.30 petang semalam, sejumlah 26 kes disahkan Influenza A(H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,411.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 629 kes," katanya di dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 67 kes (10.7 peratus) telah disahkan positif Influenza A (H1N1) dan bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 11 kes, lapan daripadanya mempunyai faktor risiko.

Dr Mohd Ismail berkata, penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

Katanya, bagi mengekang penularan itu secara efektif, amat penting bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai gejala ILI tidak pergi ke tempat tumpuan awam sedemikian.
"Mereka yang mengalami gejala ILI hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berhampiran. Rawatan awal penting bagi mengelakkan berlakunya komplikasi dan kematian," katanya.

Beliau berkata, jika mereka yang bersimptom tersebut terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik.

"Perkara ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya.

Katanya, masyarakat juga boleh membantu dengan melaporkan kejadian kluster ILI ke pejabat kesihatan daerah yang berhampiran.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati menerusi laman web kementerian, di alamatwww.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my atau hubungi talian hotline kementerian 03-88810200 atau 03-88810300. - Bernama

0 comments: