Followers

Saturday, May 15, 2010

Heroin bernilai RM1.95 juta dirampas, 2 lelaki ditahan

GEORGETOWN: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki dan merampas 4.5 kilogram heroin bernilai lebih RM1.95 juta dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di kawasan perumahan Bukit Jambul di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata serbuan itu dilakukan susulan penahanan dua lelaki di Jelutong pada 3.30 petang semalam ketika mereka menjalankan kegiatan menjual dadah di kawasan berkenaan berdasarkan risikan selama tiga bulan lalu.

"Berikutan penangkapan dua lelaki itu, polis menyerbu rumah pangsa di kawasan perumahan itu yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin pada jam 7 petang semalam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, dadah itu dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini dan negeri berhampiran dan rampasan itu adalah yang terbesar bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Antara yang dirampas dalam makmal itu ialah dadah jenis heroin sebanyak 27.9 kg, kafein sebanyak 85 kg, dadah jenis Ketamin sebanyak 450 gram...peralatan-peralatan lain untuk memproses dadah termasuk dapur, ketuhar, alat timbang.

"Polis turut merampas dua kereta iaitu Honda Civic dan Atos yang dipercayai digunakan dua lelaki itu," katanya.

Ayub berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu samun, mendatangkan kecederaan dan narkotik serta baru sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu.
"Seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah, dipercayai bekerja sebagai penjual VCD," katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan sebarang sindiket.

"Secara keseluruhan tidak termasuk hari ini, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, polis telah merampas sebanyak 6.3 kg heroin berbanding Januari hingga Mac tahun lalu sebanyak 4.2 kg.

"Manakala jumlah tangkapan tahun ini bagi tempoh yang sama adalah seramai 4,289 orang di atas pelbagai kesalahan dadah, dan tahun lalu bagi tempoh yang sama 3, 348 orang ditahan, meningkat sebanyak 28 peratus," katanya. - Bernama

0 comments: