Followers

Friday, May 14, 2010

Malaysia yakin kekal pertumbuhan tinggi: Mustapa

SINGAPURA: Malaysia yakin pertumbuhan tinggi ekonomi yang dicatatkan awal tahun ini boleh dikekalkan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, pelbagai sektor ekonomi seperti pembuatan dijangka terus mencatatkan prestasi baik tahun ini dan justeru itu boleh membantu mengekalkan momentum pertumbuhan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 10.1 peratus pada suku pertama 2010, jauh lebih baik berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2009.
Najib berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini kini disemak semula kepada 6 peratus daripada unjuran terdahulu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Pertumbuhan KDNK suku pertama itu adalah yang tertinggi dicatatkan dalam tempoh sepuluh tahun berbanding dengan 11.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2000.

Mustapa berkata, angka pertumbuhan itu "mengejutkan tetapi menggembirakan pasaran" dan "kami tahu kami boleh melakukan dengan baik" kerana semua sektor ekonomi mencatatkan prestasi baik.

"Bagaimanapun sesetengah orang masih meragui pencapaian Malaysia kerana mereka memberi alasan pelaburan di negara itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini masih rendah, berjumlah hanya RM5.2 bilion berbanding dengan RM32.6 bilion yang dicapai tahun lalu," katanya kepada anggota Foreign Correspondents' Association of Singapore di sini, hari ini.
Mustapa berada di sini sejak semalam untuk bertemu dengan pelabur Singapura dan asing yang berpangkalan di negara ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Persidangan Perniagaan Jerman Asia Pasifik Ke-12 yang membabitkan perbincangan panel antara lebih 700 ketua perniagaan utama Jerman dengan menteri perdagangan Asean.

Beliau berkata, Malaysia kini lebih menarik bagi pelabur asing kerana ia telah meliberalisasikan ekonominya dengan menghapuskan beberapa garis panduan pelaburan seperti keperluan 30 peratus saham Bumiputera dalam syarikat asing tahun lalu.

Mustapa berkata, pada 10 Jun ini, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak butiran terperinci Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan menjadikan ekonomi lebih rancak dan menggerakkannya ke arah pertumbuhan dua angka.

Mengenai persidangan dengan ketua perniagaan utama Jerman, Mustapa berkata para delegasi diberitahu bahawa mereka tidak sepatutnya hanya melihat kepada China dan India untuk berdagang kerana Asean masih relevan dan satu "kuasa yang perlu diambil kira", dan rantau Indo-China (membabitkan Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam) kini berkembang sebagai peserta ekonomi serantau.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), beliau berkata Malaysia dan India sedang berunding untuk memuktamadkan FTA sebelum Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, melawat Malaysia pada akhir tahun ini. - Bernama

0 comments: