Followers

Friday, May 14, 2010

Bayi lelaki ditinggalkan di masjid

SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di Masjid Al-Makmor, Sungai Lalang, di sini pada 5.20 pagi ini.
Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Johari Bidin, 67, berkata beliau menemui bayi itu selepas terdengar suara tangisan bayi sebaik sahaja beliau menyalakan lampu di masjid itu untuk menunaikan solat subuh.

Katanya, beliau terus mencari arah bunyi tangisan itu dan menemui bayi berkenaan yang dibalut dengan tuala, ditinggalkan berhampiran dengan tangga untuk ke ruang solat wanita.
"Bayi itu diselimutkan dengan tuala dan terdapat banyak semut di badannya, ada juga kesan darah melekat di tuala dan kepala bayi itu juga masih basah," katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika ditemui di sini mengesahkan kejadian dan berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 317, Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah, Zulkipli Ramli, berkata bayi itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pihaknya dimaklumkan bahawa bayi itu dalam keadaan sihat.

Katanya, bayi itu akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas tamat rawatan. - Bernama

0 comments: