Followers

Wednesday, May 12, 2010

Shahrizat bantah ujian kehamilan ke atas peserta PLKN

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini berkata kementeriannya membantah ujian kehamilan dijalankan sebagai keperluan bagi semua pelatih wanita dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata, ini kerana ia membabitkan isu privasi sebagai perkara dasar.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) untuk menimbangkan semula cadangan kementerian bagi memperkenalkan modul kesihatan reproduktif dalam kurikulum PLKN.
Beliau menjelaskan mengikut undang-undang sedia ada, sebarang prosedur yang membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.

"Saya amat bimbang dengan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak. Adalah malang jika wanita muda melahirkan anak di dalam situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan berita hari ini bahawa seorang pelatih PLKN wanita berumur 18 tahun melahirkan anak di dalam tandas di Kem Ovai di Papar, Sabah.

Berikutan insiden itu, MLKN mencadangkan untuk mewajibkan ujian kehamilan bagi pelatih wanita pada masa akan datang.
Katanya, kementerian akan terus menyokong pandangan bahawa mendidik generasi muda mengenai reproduktif dan kesihatan sosial adalah penting bagi memberikan pengetahuan dalam hubungan yang sihat dan mengelak kehamilan remaja.

Katanya, cadangan untuk memperkenalkan modul itu pada mulanya dicadangkan pada 2008 dan diluluskan Kementerian Pertahanan. - Bernama

0 comments: