Followers

Monday, May 10, 2010

Pengusaha van pelancongan Thai sedia patuhi peraturan


SEBAHAGIAN pengusaha van pelancong Thailand menyerbu Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia yang terletak di Bukit Kayu Hitam untuk memohon permit bagi membawa pelancong ke Malaysia, hari ini.  - Foto Shahrizal Md Noor
SEBAHAGIAN pengusaha van pelancong Thailand menyerbu Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia yang terletak di Bukit Kayu Hitam untuk memohon permit bagi membawa pelancong ke Malaysia, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor
DANOK (THAILAND): Pengusaha van pelancongan Thailand bersedia mematuhi sebarang peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan mereka meneruskan operasi membawa pelancong negara ini ke Malaysia seperti biasa.

Perkara itu diputuskan hasil perbincangan antara pengusaha van terbabit dengan Penasihat Khas Kerajaan Thailand di Songkhla, Datuk S Shannon yang juga seorang ahli perniagaan Malaysia di sini.

Shannon berkata, pengusaha van pelancongan Thailand terbabit meminta pihak berkuasa Malaysia mengemukakan arahan rasmi mengenai peraturan yang ditetapkan bagi membolehkan mereka mematuhi setiap prosedur, termasuk mendapatkan permit supaya dapat beroperasi seperti biasa.
Katanya, beliau difahamkan bahawa beberapa perkara yang sering mendatangkan masalah kepada pengusaha van pelancong Thailand ketika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi penguatkuasaan adalah penggunaan cermin gelap, nombor pendaftaran terlalu kecil dan masalah permit.

"Mereka memberitahu perkara itu tidak pernah dijelaskan dengan terperinci kepada pengusaha van Thailand menyebabkan mereka sering melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Selain itu mereka mendakwa operasi JPJ yang tidak konsisten juga menyebabkan mereka keliru mengenai peraturan dikuatkuasakan.

"Ini menunjukkan ada masalah komunikasi antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengusaha van pelancongan Thailand hingga menyebabkan perkara ini berlaku," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengambil inisiatif mengaturkan perbincangan itu bagi membolehkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara terus terpelihara dan tidak mahu masalah van pelancongan itu mengeruhkan hubungan Malaysia-Thailand.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sadao, Pramut Lert Baworn.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar yang turut serta dalam perbincangan itu berkata, beliau difahamkan pengusaha van pelancong Thailand bersetuju untuk mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan permit bas pelancongan daripada Tourism Malaysia.

"Kita sudah mendapatkan maklum balas JPJ mengenai hal ini dan mereka mengatakan soal permit pelancongan bukan di dalam bidang kuasa mereka dan ia perlu dikemukakan kepada pihak berkaitan.

"Selepas diteliti kita dapati ada peruntukan khas mengenai permit membawa pelancong oleh pengusaha bas dan van Thailand di Tourism Malaysia.

"Mereka bersetuju mengemukakan permohonan baru ke Tourism Malaysia sebagai langkah sementara dan berharap ia dapat meredakan masalah yang berlaku," katanya.

Selain itu, Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, Mohd Aini Atan berkata, kerajaan negara ini tidak pernah mengeluarkan arahan melarang kemasukan bas atau van pelancongan Malaysia ke Thailand.

Katanya, tindakan itu dilakukan atas kapasiti persendirian dan ia tidak berkaitan dengan arahan rasmi kerajaan negara ini.

Berita Minggu Ahad lalu melaporkan lebih 30 bas dan van membawa 1,000 pelancong Malaysia terkandas di Kompleks Kastam dan Imigresen Thailand di Danok, berikutan sekatan jalan oleh pengusaha van pelancongan tempatan.

0 comments: