Followers

Monday, May 10, 2010

Perdana Menteri di Kemboja untuk lawatan rasmi pertama

PHNOM PENH: Datuk Seri Najib Razak tiba di sini lewat petang tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu sejak menjadi Perdana Menteri April tahun lalu.

Najib, yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di sini pada jam 6.50 petang (7.50 malam waktu Malaysia) dan disambut Menteri Penerangan Kemboja, Khieu Kanharith.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin juga turut hadir bagi menyambut mereka.
Lawatan Najib itu bertujuan meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan.

Perdana Menteri dijangka memulakan lawatan hari kedua dengan menghadiri majlis meletakkan kalungan bunga di Tugu Kemerdekaan sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya, Hun Sen, di sini esok.

Kemudian, beliau akan mengadakan dialog dengan pelabur dan ahli perniagaan Malaysia di sebuah hotel di sini sebelum Hun Sen menyertainya pada Forum Perniagaan Malaysia-Kemboja dan majlis jamuan tengah hari di hotel sama.

Kedua-dua pemimpin itu akan menyaksikan majlis menandatangani enam perjanjian perniagaan bernilai AS$1 bilion (RM3.3 bilion).
Lima perjanjian itu adalah antara sektor swasta dari kedua-dua negara itu manakala, satu antara sebuah syarikat Malaysia dengan agensi kerajaan Kemboja.

Najib juga dijadual melawat Pusat Operasi Hello Axiata, syarikat usaha sama Malaysia-Kemboja dalam industri telekomunikasi dan melawat tapak pembinaan kompleks baru Kedutaan Malaysia.

Sementara itu, Rosmah akan mengadakan aturcara berasingan esok dengan melawat Hospital Kuntha Bopha IV dan Sekolah Tinggi Bun Rany Hun Sen.

Perdana Menteri dan isteri akan mengakhiri lawatan hari kedua dengan menghadiri jamuan malam rasmi yang dihoskan Hun Sen dan isteri, Bun Rany di sebuah hotel di sini.

Pada hari terakhir, Najib dijadual menghadap Raja Norodom Sihamoni di Royal Palace di sini.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan Heng Samrin di dewan dan Presiden Senat, Chea Sim di Dewan Senat di sini.

Najib dan isteri dijadual berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada jam 12.30 tengah hari, waktu Malaysia, Selasa ini. - Bernama

0 comments: