Followers

Saturday, May 1, 2010

Petronas dipelawa Brunei untuk bangunkan Blok L dan M

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berkata syarikat minyak nasional itu dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir yang sebelum ini ditandakan sebagai Blok L dan M atas dasar persetujuan komersial.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, syarikat itu sudah menubuhkan satu pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.

"Kedua-dua pihak komited untuk mencapai satu persetujuan yang memberi manfaat bersama secepat mungkin," kata Petronas.
Kenyataan empat perenggan itu menyebut persetujuan itu dibuat berikutan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada 16 Mac tahun lalu.

"Pertukaran Surat ini merupakan kemuncak kepada isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara untuk mencapai satu persetujuan yang memberi manfaat bersama, bagi membolehkan Petronas memasuki kontrak perkongsian pengeluaran yang baru bagi kedua-dua blok," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut berikutan Pertukaran Surat itu, kontrak perkongsian pengeluaran meliputi Blok L dan M, yang diberikan pada 2003 kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Sabah Oil Co Ltd, ditamatkan secara rasmi pada 7 April tahun ini memandangkan kedua-dua blok berkenaan bukan lagi sebahagian daripada Malaysia.

Blok L dan M ditandakan semula masing-masing sebagai Blok CA1 dan CA2, kata kenyataan itu lagi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis dalam laman blognya Khamis lalu, mempersoalkan sebab kedua-dua blok itu bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata, kehilangan itu boleh mengakibatkan kerugian kepada Malaysia sekurang-kurangnya AS$100 juta (RM320 juta).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.

Abdullah, yang menandatangani Pertukaran Surat itu, menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet Malaysia dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usahasama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun. - Bernama

0 comments: