Followers

Saturday, May 1, 2010

Jadikan kreativiti, penciptaan semula fokus tahun ini: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengesa pekerja negara ini supaya menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus tahun ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara.
"Dengan menginovasi produk dan proses merangkumi semua sektor ekonomi, kita mampu meningkatkan kekayaan dan daya saing di peringkat dunia supaya kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara ternama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Finland," kata Perdana Menteri dalam amanat Hari Pekerja 2010 di sini hari ini.

Najib berkata, walaupun terdapat pelbagai jalan berbeza untuk mencapai kejayaan menginovasi, mendapatkan, memupuk dan mengekalkan bakat terbaik adalah satu daripadanya sementara melabur di dalam industri masa hadapan juga perlu dilakukan.
"Apa pun kaedahnya, saya menggalakkan anda semua untuk menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus anda bagi tahun ini. Marilah kita sama-sama berani melakukan kelainan dan lihat hasilnya," katanya.

Najib turut melahirkan kekagumannya dengan daya cipta Jepun semasa mengadakan lawatan ke loji kitar semula di negara itu semasa lawatannya ke negara matahari terbit itu minggu lalu.

"Teknologi termaju mereka dalam bidang alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui sememangnya benar-benar mengagumkan," katanya.

Najib berkata, semasa lawatan Perdana Menteri Finland, Matti Vanhanen, ke Malaysia dua hari lalu pula membuatnya teringat akan kejayaan negara itu untuk menginovasi, seperti pencapaian Nokia yang juga satu jenama yang tidak asing di negara ini.
Perdana Menteri berkata, pada tahun lalu beliau telah menekankan aspek pencapaian luar biasa pekerja Malaysia dalam bidang sosial dan ekonomi dan usaha mereka telah menarik perhatiannya.

"Namun saya percaya kita perlu terus meningkatkan usaha jika berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata, status ini amat perlu jika rakyat mahu menikmati antaranya taraf hidup yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan pembangunan rangkaian keselamatan sosial. - Bernama

0 comments: