Followers

Saturday, April 3, 2010

Polis Sabah bincang isu keselamatan dengan Filipina

LAHAD DATU: Polis Sabah melalui kerjasama polis Bukit Aman merancang mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa Selatan Filipina bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan membabitkan kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata perkara berkenaan masih dalam perbincangan namun ia dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

"Saya akan ke sana (Selatan Filipina) dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Bandar Selamat Sri Perdana di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, pertemuan berkenaan penting kerana ia menyediakan ruang bagi kedua-dua pihak untuk membincangkan isu keselamatan terutama jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan barangan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke Sabah yang perlu di atasi.

Katanya, disebabkan persempadanan laut yang memisahkan Sabah dengan selatan Filipina begitu panjang maka penyelesaian terhadap pelbagai isu akan lebih berkesan jika membabitkan kedua-dua pihak.

Mengenai kes rompakan di pelantar rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna, pada Januari lalu, Noor Rashid berkata dua pengusaha rumpai laut yang hilang masih selamat namun beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. - Bernama

0 comments: