Followers

Saturday, April 3, 2010

IPT diangkat ke tahap lebih penting di bawah kepimpinan Najib

PEKAN: Peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini kini diangkat ke satu tahap lebih penting di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sepanjang setahun menggalas tugas sebagai Perdana Menteri, Najib amat menekankan aspek pendidikan tinggi rakyat yang menjadi faktor kritikal dalam agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, IPT perlu berjalan seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju melalui penghasilan modal insan terbaik.

"Segala perancangan boleh tergendala jika sektor pendidikan tinggi tidak memainkan peranan sebagaimana yang diharapkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cabaran Orienteering 1Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi-Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Selain itu, katanya, gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Najib telah meningkatkan pembinaan keupayaan dalam sektor pendidikan tinggi.

Mohamed Khaled berkata, melalui konsep itu, pandangan serta input daripada rakyat khususnya pelajar dan warga IPT diambil kira dalam perlaksanaan dasar negara.

Katanya, penubuhan Majlis Profesor Negara yang menggabungkan kepakaran 1,426 orang profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi awam baru-baru ini turut menggambarkan kesediaan kerajaan pimpinan Najib dalam memperolehi input dalam pelbagai bidang dari sektor pendidikan tinggi.

"Perdana Menteri amat menginsafi dan menghayati kedudukan yang diberikan kepada beliau, malah beliau mengukur kepuasan rakyat, bukan kepuasan diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakyat diharap agar tidak terlalu taksub untuk mengukur pencapaian Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kestabilan dan pembangunan negara.

Hari ini genap setahun Najib menjadi Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009. - Bernama

0 comments: