Followers

Monday, March 1, 2010

Hubungan Malaysia-AS semakin mesra: Nazri

WASHINGTON: Perhubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang agak dingin kini semakin mesra dengan perubahan dasar luar Malaysia terhadap negara itu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, usaha kerajaan Malaysia untuk berbaik-baik dengan AS telah diketahui kerajaan Amerika dan dapat dirasai pegawai kerajaan, ahli Kongres dan Senator negara itu yang ditemuinya di sini.

Nazri yang mengetuai Ahli Parlimen Malaysia untuk lawatan kerja lima hari sejak Selasa, berkata pertemuan dengan pegawai kanan AS dan ahli Kongres dan Senator berkisar kepada isu kawalan eksport, rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-AS dan memerangi keganasan.

Malah, katanya, Timbalan Wakil Perdagangan Amerika, Demterios Marantis, Senator Kitt Bond dan ahli Kongres Eni Faleomavaega (Samoa Amerika) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar mengenai Asia dan Pasifik serta Alam Sekitar Sejagat mereka menghargai kehadiran mereka.

Beliau berkata, usaha sudah bermula untuk memulihkan semula hubungan Malaysia-AS dengan kerjasama ahli kongres Eni dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

“Insyallah apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) datang pada April nanti maka kita boleh lancar semula kaukus Malaysia-Amerika ini.

"Kaukus ini telah wujud lama, 10 tahun lebih. Oleh kerana tidak bergerak jelas menunjukkan hubungan yang tidak rapat di masa lepas," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kaukus itu yang juga satu platform untuk kedua-dua negara merapatkan hubungan, "kita boleh ada perancangan dan program tertentu membabitkan ahli Kongres dan Ahli Parlimen kedua negara."

Delegasi Parlimen itu terdiri daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee, Datuk Haji Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

Nazri berkata, beliau turut menjemput Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed, yang kini Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ke Washington bagi mengambil bahagian dalam seminar anjuran "Center for Strategic and International Studies (CSIS) bertajuk "Governance and Rule of Law and Malaysian Legislative Initiatives".

"Ini adalah kerana mereka kebetulan berada di Uruguay untuk menyiasat kes kehilangan dua jet enjin Tentera Udara Diraja Malaysia yang turut membabitkan kes rasuah," katanya.

Mengenai dakwaan penulis blog Malaysia Today yang mendakwa kerajaan membayar AS$20 juta (RM67.3 juta) kepada pelobi di Washington untuk membersihkan imej Malaysia yang kononnya tercemar akibat kes perbicaraan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazri berkata lawatan itu menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada pejabatnya serta Ahli Parlimen.

“Saya tidak tahu dari mana datang jumlah AS$20 juta ini. Ini tuduhan liar dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang. Malah tak ada keperluan untuk membersihkan imej Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, isu Anwar langsung tidak dibangkitkan dalam perbincangannya dengan pegawai, ahli Kongres and Senator AS.

"Isu Anwar cuma dibangkitkan dalam seminar itu sebagai satu soalan yang diajukan seorang wakil NGO (badan bukan kerajaan), dan saya juga tak berminat nak bercakap mengenai kes itu sebab ia terlalu kecil untuk menjejaskan hubungan dengan AS.

"Takkanlah sebab satu individu itu akan menjejaskan hubungan kita.

“Kita tahu di Malaysia dia (Anwar) cuba hendak gugurkan tuduhan terhadapnya di mahkamah dan minta Parlimen bersidang mencampuri urusan kehakiman.

"Bila dia (Anwar) nak didakwa di mahkamah, dia suruh kita (legislatif) pula campur tangan dan Lim Kit Siang menuntut supaya diadakan sidang Parlimen khas. Kita tak akan campur tangan urusan mahkamah,” katanya. - Bernama

0 comments: