Followers

Sunday, February 21, 2010

Kementerian Pelajaran timbang kaedah PFI

BATU PAHAT; Kementerian Pelajaran bercadang menggunakan kaedah "Inisiatif Kewangan Swasta" (PFI) bagi membina infrastruktur sukan di sekolah, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kementerian bercadang menggunakan kaedah itu berikutan kekurangan peruntukan yang diterima tahun ini serta kos pembinaan infrastruktur sukan yang tinggi.

"Pada tahun ini, sebagaimana yang dimahukan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sukan akan menjadi elemen yang penting di sekolah dan selaras dengan itu kita akan meningkatkan infrastruktur sukan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Khairat Kematian Percuma Parlimen Batu Pahat.

Mohd Puad berkata, kos membina sebuah Sekolah Sukan saja boleh mencecah sehingga RM120 juta.

"Di dalam pembinaan sebuah Sekolah Sukan, kerajaan bukan hanya membina bangunan sekolah tetapi juga stadium yang siap dengan trek olahraga dan balapan serta gelanggang untuk sukan-sukan yang berlainan" katanya.

Beliau juga berkata, walaupun berhadapan dengan kekurangan peruntukan, kementerian tetap meneruskan peruntukan terhadap beberapa bidang pendidikan yang penting seperti Skim Bantuan Makanan Tambahan, Skim Bantuan Buku Teks dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Mengenai skim khairat itu, Mohd Puad berkata kawasan Parlimen Batu Pahat membelanjakan RM36,000 setahun sebagai bayaran premiumnya bagi membolehkan penduduk yang menyertainya dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan oleh skim terbabit.

"Waris kepada penduduk yang menyertai skim kelolaan Takaful Ikhlas ini akan menerima RM1,000 jika berlaku kematian terhadap pemegang polisi skim ini," katanya. - Bernama

0 comments: