Followers

Sunday, February 14, 2010

GST: IKS boleh tuntut balik cukai bahan mentah

BACHOK: Pengilang dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dijangka dikenakan cukai empat peratus untuk membeli bahan mentah, boleh menuntut semula wang itu selepas menghasilkan produk, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata kadar cukai GST adalah lebih rendah berbanding antara 5 dan 10 peratus mengikut kaedah percukaian semasa.

"GST menguntungkan dan tidak membebankan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pesta futsal anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok di Kampung Melawi, di sini, hari ini.

Sebanyak 60 pasukan menyertai pesta itu yang turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok, Datuk Zaidi Mohd Said.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, GST juga tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan petani dan nelayan, kerana keperluan asas seperti gula dikecualikan.

Beliau berkata, GST lebih menekankan kepada golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang membeli barangan mewah seperti kereta, peti sejuk, televisyen dan motosikal.

Oleh itu rakyat tidak seharusnya mudah dipengaruhi parti pembangkang yang menakut-nakutkan mereka kononnya GST akan membeban setiap individu kerana terpaksa membayar cukai yang tinggi.

Beliau berkata, lebih 150 negara sudah menggunakan sistem itu yang dikenali sebagai Cukai Tambah Nilai (VAT). - Bernama

0 comments: