Followers

Sunday, February 14, 2010

Obama jemput Najib hadiri sidang nuklear dunia

ROMPIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menghadiri Persidangan Nuklear Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 13 April depan.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata Presiden AS, Barack Obama, telah secara rasminya menjemput Perdana Menteri menghadiri persidangan itu menerusi surat yang disampaikan melalui Kedutaan Malaysia di Washington.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Bahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional di Muadzam Shah dekat sini hari ini, Jamaludin berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Najib mengenai pengesahan kehadiran beliau pada persidangan yang akan dihadiri oleh pemimpin kanan dari lebih 40 buah negara itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, jemputan daripada Obama itu adalah penghormatan besar kepada Malaysia kerana negara ini bukanlah sebuah negara pengeluar nuklear namun suara dan pandangannya turut mahu dikongsi bersama dengan negara lain.

"Saya rasa rakyat Malaysia patut rasa bangga sebab kita bukan negara kuasa nuklear dunia tetapi Presiden Obama beri penghormatan kepada Perdana Menteri kita menghadirinya dan pada masa yang sama menghormati Malaysia sebagai negara Islam dan mahukan suara Islam dalam membincangkan isu ini," katanya.

Jamaludin berkata, lawatan Najib itu juga memberi peluang kepada beliau menemui pelabur berpotensi dari AS untuk datang melabur di Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Kuala Lumpur-Washington.

Katanya, antara cadangan program beliau kepada Najib adalah mengadakan pertemuan bersama pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat besar AS yang bermastautin di Malaysia bagi mendengar sendiri daripada Najib mengenai dasarnya untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pertemuan juga, katanya, akan turut diadakan bersama tokoh kerajaan peringkat menteri untuk melihat bagaimana produk dari Malaysia khususnya pertanian dapat menembusi pasaran AS. - Bernama

0 comments: