Followers

Monday, January 25, 2010

Jolokan 'King Ghaz' bukti Ghazali pemimpin hebat: TPM

KUALA LUMPUR: Jolokan "King Ghaz" terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun mohd Ghazali Shafie tepat bagi menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang hebat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Allahyarham mempunyai sikap kepimpinan yang hebat dan sebab itulah beliau diberi jolokan "King Ghaz".

"Allahyarham juga adalah seorang yang tegas dan tidak suka berdolak-dalik," kata Muhyiddin yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar semasa Ghazali menjadi Menteri Luar.

Muhyiddin berkata, sikap tegas itu bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi kadang-kadang media juga kelu lidah untuk bertanya kerana takut dimarahi jika tidak mengetahui sesuatu isu.

Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam tadi.

Jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara hari ini. - Bernama

0 comments: