Followers

Monday, January 25, 2010

Semua pusat operasi banjir di Sabah diarah siap sedia

SANDAKAN: Semua Pusat Kawalan Operasi Banjir di daerah yang sering dilanda banjir di negeri ini diarahkan supaya bersiap sedia dan mengaktifkan pusat itu apabila keadaan memerlukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata langkah itu penting bagi memastikan pemantauan keselamatan dan bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan mereka dapat dilakukan dengan cepat.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang, agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terbabit perlu berjaga-jaga dan bersiap sedia bagi membantu penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

"Kita perlu memberikan khidmat yang terbaik bagi memastikan rakyat berada di dalam keadaan selamat dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku apabila berlaku banjir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kepimpinan Pelajar dan Ceramah Keibubapaan di Sekolah Menengah Elopura Bestari di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk kampung di kawasan yang terjejas banjir juga diminta berpindah ke kawasan selamat atau ke pusat pemindahan banjir dan mengikut arahan pihak keselamatan jika mereka diarahkan untuk berpindah.

Katanya, ia perlu bagi memastikan pihak keselamatan dapat memantau keadaan keselamatan mereka dan memudahkan bantuan makanan diagihkan.

Ditanya mengenai kelewatan membina empat pusat penempatan mangsa banjir di Kinabatangan, Musa berkata beliau telah mengarahkan pegawai yang terbabit menyediakan laporan mengenai kelewatan pelaksanaan membina empat penempatan itu.

"Saya telah meminta pegawai berkenaan menyediakan laporan itu dan memberikan kepada saya kenapa pelaksanaan pembinaan empat penempatan baru itu lambat dimulakan," katanya.

Empat penempatan tersebut ialah di kampung Bukit Garam, Muhibbah, Mengaris dan Balat bagi menempatkan penduduk yang menghadapi masalah banjir setiap tahun. - Bernama

0 comments: