Followers

Wednesday, January 20, 2010

Muhyiddin lawat tempat kejadian perahu naga

GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melawat tempat kejadian perahu naga terbalik yang meragut enam nyawa iaitu lima pelajar dan seorang guru Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam di sini, dua hari lalu.

Kawasan perairan dekat Lebuh Macallum yang juga adalah pusat pemunggahan barangan dari kapal dan pangkalan tongkang itu dijadikan sebagai pusat latihan mendayung bagi kelab perahu naga sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat kawasan itu sebelum berlepas ke tanah perkuburan Cina Batu Gantung di sini bagi menziarahi jenazah salah seorang mangsa, Goh Yi Xiang, 15.

Yang turut menyertai rombongan lawatan beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob dan pemimpin Umno negeri.

Pada kejadian pagi Ahad lalu, enam termasuk seorang guru dari Sekolah Tinggi Chung Ling itu ditemui lemas apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di kawasan kira-kira 100 meter dari darat pada 8.45 pagi.

Mereka yang terkorban itu ialah guru sekolah yang juga penasihat pasukan, Chin Ai Fang, 28 dan lima pelajar iaitu Jason Ch'ng, 17; Goh Yi Xiang, 15; Bradon Yeoh, 17; Cheah Zi Yun, 17, dan Yong Xiang, 16.

Seramai 12 pelajar lain terselamat apabila sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran. - Bernama

0 comments: