Followers

Saturday, January 16, 2010

Usahawan luar negara perlu bantu jaya ekonomi negara: PM

JEDDAH: Datuk Seri Najib Razak mahu usahawan Malaysia yang berjaya di luar negara membantu menjayakan Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan kerajaan untuk membawa kemakmuran ekonomi di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, mereka disaran membuat pelaburan membangunkan ekonomi negara, sekali gus mengembangkan ekonomi domestik agar Malaysia tidak terlalu bergantung kepada pelaburan syarikat asing.

"Jika telah buat duit di luar negara, kita boleh membawanya ke dalam negara menerusi pelaburan. Ini bukan saja akan mengembangkan ekonomi negara, malah membawa kemakmuran ekonomi ke negara kita.

"Ia selaras dengan Model Ekonomi Baru kerajaan untuk menghasilkan usahawan yang berjaya di dalam negara dan mampu berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis makan malam Majlis Perniagaan Malaysia (MBC Arab Saudi), di sini malam tadi.

Perdana Menteri berada di sini bersama Datin Seri Rosmah Mansor untuk rangka lawatan rasmi tiga hari atas undangan Raja Abdulllah bin Abdulaziz Al-Saud.

Najib juga berkata, negara mengimpikan kelahiran syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global seperti Samsung dan Hyundai dari Korea Selatan yang kini berjaya mengatasi syarikat terulung dunia seperti Panasonic dan Sony.

Katanya, negara memang menggalakkan pelaburan asing, tetapi pada masa sama mahu syarikat dan usahawan tempatan menyertai industri masa depan serta muncul usahawan peringkat serantau dan global.

0 comments: